Selasa, 1 September 2009

Kisah Seekor Kupu-kupu

Sedang bersiar-siar di taman, seorang lelaki telah menemui kepompong kupu-kupu di tengah jalan. Ada lubang kecil pada kepompong tersebut. Lubang itu diamatinya. Ia mendapati ada kupu-kupu sedang berjuang membebaskan diri melalui lubang kecil itu.



Kemudian kupu-kupu itu berhenti mencuba. Ia kelihatan telah berusaha keras dan kini tidak mampu untuk melakukan lebih jauh lagi. Akhirnya lelaki tersebut mengambil keputusan membantu kupu-kupu itu. Diambilnya gunting dan dipotong sisa kekangan dari kepompong tersebut.



Lantas, kupu-kupu berjaya keluar dengan mudah. Namun, ia memiliki tubuh gembung dan kecil, sayapnya berkeriut. Lelaki tersebut terus mengamatinya sambil berharap sayap-sayap itu akan mekar dan melebar sehingga mampu menampung tubuh kupu-kupu itu, yang mungkin akan berkembang seiring dengan berjalannya waktu. Namun, harapannya hanya tinggal harapan.



Hakikatnya, kupu-kupu itu terpaksa menghabiskan sisa hidupnya dengan tubuh gembung dan sayap-sayap berkeriut tidak sempurna. Ia tidak pernah mampu terbang. Salah siapa?



Lelaki yang membantu kupu-kupu tersebut tidak mengerti bahawa kupu-kupu itu perlu berjuang dengan sedaya usahanya sendiri untuk membebaskan diri dari kepompongnya. Lubang kecil yang perlu dilalui kupu-kupu tersebut akan memaksa cairan dari tubuh kupu-kupu itu de dalam sayap-sayapnya sehingga ia akan siap terbang dan memperoleh kebebasan dari kepompong tersebut.



Manusia dan perjuangan tidak mampu untuk dipisahkan! tanpa perjuangan, kita mungkin menjadi insan yang lemah dan tidak tahan ujian. Kita mungkin sekali tidak kuat dalam menempuh rintangan bagi mencapai cita-cita dan harapan. Mungkin juga, kita tidak kan mampu 'terbang' jauh dek kelemahan kita sendiri.



Perlu direnung sejenak. Sejauh mana kita tahan dalam ujian? Perlu berusaha keras dan menggapai cita-cita. Chayok-chayok!! "Patutkah, manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata, 'Kami beriman', sedang mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan)?" al-Ankabut:2.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan