Jumaat, 23 Oktober 2009

MULIANYA PENGORBANAN SEORANG ISTERI


Sanggup berpindah dari naungan keluarga sendiri dan kemudiannya menyerahkan jiwa dan raganya kepada seorang lelaki ‘asing’, bukanlah satu perkara yang mudah. Walaupun lelaki itu telah dikenalnya tapi si lelaki tetap masih orang asing dalam kehidupannya.

Kini dia menyerahkan maruah dan kehormatannya kepada lelaki itu yang mungkin akan menjadi satu-satunya teman hidupnya sampai bila-bila. Ini dikira satu pengorbanan. Mungkin boleh dikatakan, inilah pengorbanan pertama yang dilakukan oleh seorang wanita bila bergelar isteri.

Kehidupan seorang isteri dalam bahtera rumah tangga selepas itu menemukan dia pada banyak saat dan ketika di mana dia melakukan pengorbanan demi pengorbanan. Kecil atau besar, sedikit atau banyak, pengorbanan pasti ada dalam kamus hidup seorang isteri.

Waktu merelakan dirinya diambil sebagai isteri, dia telah menggadai diri dan kebebasannya untuk hidup bersama suami. Tidak ada lagi kehidupan yang agak merdeka di bawah kawalan ibu bapa. Tidak lagi bebas mengisi masa bersama teman-teman. Atau memenuhi pelbagai aktiviti dan mengejar cita-cita peribadi. Semua itu tidak dapat dikecapi lagi. Dia kini sudah terikat dengan tanggungjawab kepada suami.

Kemudian isteri akan menempuh kehidupan bersama suami tidak kira bagaimana pun bentuk kehidupan itu. Liku dan ranjau di hadapan belum diketahui. Kalaupun lebih susah dari sebelumnya, isteri selalunya sanggup berkorban dan bersusah-susah demi meneruskan hidup bersama suami.

Ada isteri yang menyimpan rahsia kesusahan hidupnya dari pengetahuan keluarga. Demi menjaga maruah suami, seboleh mungkin dia akan cuba menutup kesusahan hidupnya bersama suami. Dia tidak mahu kaum keluarganya memandang rendah pada suaminya. Lebih-lebih lagi kalau kaum keluarga si isteri lebih berdarjat dari suami. Menjaga rahsia rumah tangga dan ‘aib’ suami menjadi perjuangan dalam hidupnya. Hingga dia sanggup berkorban kerananya.
Kalaupun kehidupannya selepas berkahwin diliputi kesenangan, pasti ada waktu-waktunya isteri perlu dan harus berkorban. Si isteri sendiri mungkin tidak merasakannya sebagai satu pengorbanan kerana dia gembira melakukannya demi suami. Contoh paling mudah, isteri selalunya akan mendahulukan suami dan anak-anak lebih dari dirinya. Apa yang suami dan anak-anak teringin hendak makan misalnya, dia sanggup sediakan. Tidak mengapa kalau masakan itu bukan kegemarannya sendiri. Citarasa suami lebih penting dari citarasanya sendiri.
Isteri juga selalunya mendahulukan ibu bapa dan keluarga suami.

Kerana baginya, memuliakan keluarga suami sama seperti memuliakan suami juga.
Kehidupan seharian dalam sesebuah rumah tangga menyerlahkan banyak pengorbanan isteri. Bersengkang mata hingga jauh malam untuk membereskan urusan rumah mungkin tidak dirasakan satu pengorbanan oleh seorang isteri. Begitu juga bangkit awal pagi untuk menyediakan juadah sarapan. Kerja-kerja itu sudah dianggap ‘alah bisa tegal biasa’. Sudah menjadi kerja rutin yang setiap hari dibuat. Tetapi semua itu menuntut masa dan tenaga.

Bermakna, isteri harus korbankan masa dan kerehatannya. Mungkin juga kesihatan. Semuanya untuk memastikan rumah yang dihuni bersama suami dalam keadaan terurus. Nyaman selesa dan membuatkan suami bahagia.
Menjelang bergelar ibu, seorang isteri akan melalui ujian dan cabaran tersendiri. Namun, rasa bahagia mengandungkan anak hasil perkongsian hidup dengan suami membuatkan dia lupa penanggungannya sewaktu sarat mengandung. Memang kadang-kadang rasa agak tidak selesa dengan perut yang membesar.

Suami yang memandang pun rasa ‘rimas’ melihat pergerakan isteri yang terbatas, inikan pula isteri yang menanggungnya. Namun, rasa tidak selesa itu hilang bila timbul bayangan cahaya mata yang bakal ditimang. Isteri sanggup melalui detik ujian dan cabaran sewaktu mengandung demi kasih pada suami dan anak dalam kandungan.

Dalam keadaan sarat mengandung, isteri masih aktif di rumah. Membawa perut yang memboyot, dia masih sanggup turun ke dapur, membasuhkan pakaian suami, menjemur kain baju, basuh pinggan mangkuk, mengelap lantai, membersihkan habuk dan bermacam lagi.
Banyak kerja yang dilakukan oleh isteri ini adalah hakikatnya untuk membantu suami membereskan urusan rumah tangga. Kerja-kerja yang menjadi tanggungjawab bersama itu dibuat oleh isteri demi memberi khidmat bakti kepada suami.

Tidak ada isteri yang merungut kenapa dia harus menanggung sakit bersalin dan berpantang lepas bersalin. Sebaliknya isteri boleh senyum selepas mengalami kesakitan yang tak tertanggung sewaktu bersalin. Selepas berhempas-pulas bersabung nyawa di meja bersalin, beberapa minit kemudian dia boleh melemparkan senyum puas bila menatap wajah suami dan wajah anak yang masih merah. Bukan cerita sakit bersalin yang diluahkan pada suami, tapi cerita gembira menimang cahaya mata.

Walaupun isteri tahu sakitnya bersalin, tapi setiap kali mengandungkan anak suami, si isteri tidak pernah meluahkan rasa takut dan ngeri untuk bersalin lagi. Kalau ada suami yang pernah menemani isteri di meja bersalin dan melihat penanggungan isterinya sewaktu meneran anak, dia akan tahu beratnya sakit yang ditanggung waktu itu. Memang isteri terpaksa berhempas-pulas. Mungkin suami tidak akan sanggup melihat isteri menanggung sakit seperti itu lagi, tapi si isteri tetap bersedia mengharungi kesakitan yang sama.

Demi kegembiraan bersama memperolehi cahaya mata, soal sakit dilupa-lupakannya. Pengorbanan isteri ini, jika difahami oleh suami, pasti akan sangat dihargai. Melihat wajah anak-anak, terbayang keperitan yang dialami isteri waktu mengandung dan melahirkannya dulu.
Selepas melahirkan anak, isteri harus berkorban pula membesarkan si kecil. Menyusukannya tidak kira waktu, membersihkan najisnya, memandikannya, menyuapnya ketika sudah boleh makan, menadah telinga mendengar tangisannya bila si kecil meragam… Kemudian memenuhi tanggungjawab mendidiknya dan berdepan dengan segala kerenahnya. Belum pun anak itu cukup besar, isteri mengandung lagi dan melahirkan si adik pula.

Terpaksa pula memberi perhatian dan jagaan pada si bayi di samping meneruskan proses jagaan dan didikan kepada si abang atau si kakak. Sebahagian besar keperluan anak-anak ini, isterilah yang membereskannya. Isteri benar-benar menjadi tangan kanan suami untuk memelihara dan mendidik setiap orang anak yang lahir dari zuriat suami.

Semakin bertambah anak, semakin bertambah pula tanggungjawab isteri. Semakin banyak kerja perlu dibuat. Namun isteri masih orang yang sama, dengan kudrat fizikal dan kemampuan yang dulu. Di samping harus meneruskan layanan kepada suami dan kerja-kerja pengurusan rumah tangga yang sentiasa ada dan bertambah.

Jarang sekali ada isteri menuntut bayaran dari suami bagi kerja-kerja ‘lebih masa’ yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi untuk menuntut gaji. Kalau suami faham dan tahu menghargainya, alhamdulillah. Kalau suami mahu sama-sama ringankan tangan untuk membantu, syukur. Kalau suami sekali-sekala mahu memberi penghargaan dalam bentuk material atau hadiah, itu dikira sudah cukup baik. Paling tidak, penghargaan dalam bentuk kata-kata, sikap dan belaian mesra pun amat tinggi harganya.

Namun, kalaupun suami tidak faham, tidak prihatin dan tidak mahu menunjukkan penghargaan serta pengiktirafan, isteri akan tetap melakukan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.

Lebih berat tanggungjawab dan penanggungan isteri bila dia juga keluar bekerja. Di luar rumah, dia berkorban tenaga membantu suami mencukupkan sara hidup keluarga. Di rumah, dia meneruskan ‘kerjaya’ sebagai isteri, ibu dan suri rumah. Kalau tiada pembantu rumah, dia akan berdepan dengan lebih banyak kerja untuk dibereskan. Balik ke rumah, dia sanggup korbankan masa rehatnya untuk menyambung kerja yang tertangguh. Layan suami, layan anak-anak, sediakan makan minum, basuh pakaian, berkemas rumah, seterika baju dan banyak lagi.
Paling ketara bila isteri pulang kerja bersama suami. Balik ke rumah, isteri selalunya bersedia untuk ‘layan diri’ bagi apa-apa keperluannya sendiri.

Namun untuk suami, dia sanggup beri layanan istimewa. Kalau suami dilihat kepenatan, isteri sanggup melupakan kepenatannya sendiri untuk memenuhi keperluan suami. Paling tidak, terus ke dapur untuk menghidang air pelepas dahaga suami. Mengorbankan kerehatannya sendiri demi mendahulukan keperluan dan keselesaan suami.

Memang ada isteri yang merungut. Memang ada isteri yang membebel dan mengungkit. Memang ada isteri yang meluahkan rasa sakit hati bila melihat suami rehat-rehat ketika si isteri sibuk melakukan ops dapur, ops bilik air, ops bilik tidur, ops halaman dan pelbagai ‘ops’ lagi. Sebab bukan semua suami yang mahu berkongsi melakukan kerja-kerja di rumah. Bukan semua suami bersikap ‘sporting’ dan tahu menghargai susah payah isteri.

Tetapi dalam merungut dan membebel itu pun, segala kerja tetap dibuatnya. Suami hanya perlu sabar sedikit sambil menadah telinga mendengar bebelan isteri. Dalam waktu yang sama, kalau suami hendak makan, ada juadah tersedia. Hendak pakai baju, pakaian siap berbasuh. Hendak bermain-main dengan anak kecil, kencing berak anak sudah dicuci.
Kalaupun ada isteri yang menjeruk rasa kerana suami semacam tidak hargai segala khidmat baktinya, namun jarang ada isteri yang sanggup ‘mogok’ dari tugas sebagai isteri, ibu dan suri rumah.

Dia mengharap sedikit tanda berterima kasih dari suami tetapi tidak sanggup meluahkannya dengan kata-kata. Hanya gerak-geri atau ‘bahasa badannya’ saja yang berbicara. Kalau suami faham, fahamlah. Jika tidak, isteri selalunya akan hanya memendam perasaan. Hatinya mengharap dan meminta tanpa kata-kata. Atau dia akan meluahkan rasa di atas kertas.

Bila suami dilihat langsung tidak menghargai, waktu itu mungkin coretan di kertas mengganti lidah berbicara.

Berat macam mana pun kerja yang dibuatnya, isteri akan rasa puas dapat melakukannya. Dia buat kerja dengan rasa gembira. Tugas dan kerja yang nampak berat bagi suami dapat dibereskan oleh isteri dengan agak mudah dan ringan. Walaupun tika usia telah senja dan si isteri telah menjadi nenek, dia masih isteri yang dulu. Isteri yang akan sentiasa mengutamakan dan melebihkan suami.

Ini satu kelebihan wanita. Allah jadikan fitrahnya dari segi fizikal dan kehalusan perasaan, mampu menanggung segala macam tugas dan tanggungjawab dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi kalau isteri dapat rasakan apa yang dibuatnya itu akan membahagiakan suami dan mengganjarkan pahala dari Allah . Di situ dia mendapat motivasi dan lebih bersemangat untuk buat bermacam-macam kerja.
Suami yang faham akan menambah motivasi untuk isteri melalui ucapan terima kasih, kata-kata pujian, belaian, kasih sayang, sikap prihatin, turut membantu dan sekali-sekala memberinya hadiah. Segala penat, segala lelah dan segala penanggungan akan hilang bila semua itu suami hargai.

Rasanya tidak mungkin untuk menyenaraikan satu persatu susah payah dan pengorbanan isteri. Bentuk-bentuk pengorbanan pun tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Tetapi cukuplah dikatakan bahawa sebagai suri dalam rumah tangga, isteri umumnya menanggung (suffer) banyak perkara. Isteri sanggup berkorban kerana dia rela mengutamakan, mendahulukan dan melebihkan suami berbanding dirinya.